Tentera gajah Abrahah ingin menghancurkan Kaabah

         
Assalamualaikum

Abrahah merupakan Gabenor yang mentadbir Yaman yang sangat angkuh. Nama sebenarnya ialah Abrahah Bin As-Sobah Aba Yaksum dan dia merupakan seorang yang berketurunan Habsyi ( Etophia).Tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai Tahun Gajah sempena peristiwa Abrahah inilah.

Abrahah telah mendirikan sebuah gereja yang paling besar di Yaman yang dinamakan Al-Qulais dengan harapan suku kaum Arab datang mengerjakan haji di rumah ibadatnya daripada mengangungkan Kaabah, BaitulAllah. 

Malangnya pada suatu malam orang Quraisy telah  pergi ke al-Qulais, membuang air besar dan menyapu najisnya pada dinding Al-Qulais dan telah menyebabkan Abrahah marah. 

Abrahah telah mengerahkan tenteranya yang terdiri daripada tentera bergajah yang diimport dari Afrika sebanyak 1000 ekor dan di ketuai seekor gajah yang sangat besar bernama Mahmud.

Bermulalah sejarah tentera Abrahah dengan membawa gajah-gajah ingin menghancurkan Kaabah, tempat yang diagungkan suku kaum Arab itu. Abrahah yakin akan kekuatan tenteranya untuk menyelesaikan misinya.


Di dalam perjalanan,tiba-tiba ada seekor ular yang bertanyakan kepada ketua gajah iaitu Mahmud.
Ular-''wahai gajah engkau mahu kemana?''
Mahmud- "aku mahu ke Kota Kaabah untuk membantu Tuan(Abrahah) aku mendapatkan kekayaan." 
Ular-''Baik kau jangan pergi, Tuan kau hendak meruntuhkan kaabah''. 
Mahmud-''Mungkin kau silap'' 
Ular- ''Terpulanglah pada kau hendak percaya ataupun tidak''.
Lalu tentera bergajah Abrahah meneruskan perjalanannya.
Disana penduduk Mekah hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah untuk menentukan nasib Kaabah.Mereka takut melihat gajah-gajah yangg besar,sedangkan mereka hanya menunggang kuda,unta dan keldai

Apabila hampir tiba di Makkah, Panglima Abrahah telah merampas dan membawa balik kepada Abrahah binatang-binatang ternakan kaum Quraish dan merampas 200 ekor unta milik Abdul Mutalib (Datuk Nabi SAW) dan pergilah Abdul Mutalib menuntut haknya kepada Abrahah.

Abdul Mutalib, "Serahkan kembali unta milikku!".
Abrahah terkejut, kerana sangkaannya Abdul Mutalib ingin memohon agar Kaabah tidak diruntuhkan. 
Abdul Mutalib menyambung, "Unta-unta itu milik aku, dan Kaabah itu ada tuannya. Oleh itu serahkan semula unta-untaku. Kalau Kaabah itu rumah Tuhan, pasti Tuhan menjaganya. Kaabah ada Tuhan yang menjaganya!". 
Maka, Abrahah menyerahkan kembali unta-unta itu dan tidak menganggu penduduk Makkah.

Pada hari yang dirancang, Abrahah dan tenteranya ingin menuju terus ke Kaabah dan melunaskan hasrat mereka. Namun, gajah yang ditungganinya iaitu mahmud tidak mahu bergerak apabila dihadapkan ke arah Kaabah.Perkara itu berlaku juga kepada gajah yan lain.Jenuh di pukul sehingga berdarah, tidak jua bergerak walau seinci.
 Abrahah mengambil keputusan untuk bergerak bersama tenteranya ke Kaabah berjalan kaki sambil membawa tukul.


Pada masa itulah kelihatan sekelompok awan bergerak menuju ke arah mereka, dan yang sebenarnya itu burung-burung Ababil yang membawa batu dari neraka untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah.

Bagi setiap batu kecil yang menimpa tentera Abrahah, akan menanggalkan daging-daging mereka. Satu persatu tentera  Abrahah gugur mati. 
Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari ke belakang, namun dia juga tidak terkecuali terkena bisa hujan batu yang hanya di bawa burung Ababil.
Tubuh Abrahah telah menjadi sasaran anak-anak batu itu dan
dia menderita parah. Kerana itu ia telah dibawa keluar dari Makkah bersama-sama
tenteranya, sedangkan jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang sehingga sampai ke San'aa ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya. Tahun berlakunya peristiwa ini dinamakan Tahun Gajah.


Surah Al-Fiil - سورة الفيل


Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
A002
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
A003
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
A004
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
A005
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.


Nabi Ibrahim dan empat ekor burung


Assalamualaikum

Nabi Ibrahim yang sudah berketetapan hati hendak memerangi syirik dan persembahan berhala yang berlaku dalam masyarakat kaumnya ingin lebih dahulu mempertebalkan iman dan keyakinannya, menenteramkan hatinya serta membersihkannya dari keraguan yang mungkin sekali mengganggu fikirannya dengan memohon kepada Allah agar diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang sudah mati.

Berserulah ia kepada Allah: 
"Ya Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang sudah mati." 

Allah menjawab seruannya dengan berfirman:
"Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?." 

Nabi Ibrahim menjawab:"Betul, wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepala ku sendiri, agar aku mendapat ketenteraman dan ketenangan dan hatiku dan agar makin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu."
Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim lalu diperintahkanlah ia menangkap empat ekor burung lalu setelah memperhatikan dan meneliti bahagian tubuh-tubuh burung itu, memotongnya menjadi berkeping-keping mencampur-baurkan kemudian tubuh burung yang sudak hancur-luluh dan bercampur-baur itu diletakkan di atas puncak setiap bukit dari empat bukit yang letaknya berjauhan satu dari yang lain. 
Setelah dikerjakan apa yang telah diisyaratkan oleh Allah itu, diperintahnyalah Nabi Ibrahim memanggil burung-burung yang sudah terkoyak-koyak tubuhnya dan terpisah jauh tiap-tiap bahagian tubuh burung dari bahagian yang lain.
Dengan izin Allah dan kuasa-Nya datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan utuh bernyawa seperti sedia kala begitu mendengar seruan dan panggilan Nabi Ibrahim kepadanya lalu hinggaplah empat burung yang hidup kembali itu di depannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah Yang Maha Berkuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang tidak ada.
 Dan dengan demikian tercapailah apa yang diinginkan oleh Nabi Ibrahim untuk mententeramkan hatinya dan menghilangkan kemungkinan ada keraguan di dalam iman dan keyakinannya, bahwa kekuasaan dan kehendak Allah tidak ada sesuatu pun di langit atau di bumi yang dapat menghalangi atau menentangnya dan hanya kata "Kun" yang difirmankan Oleh-Nya maka terjadilah akan apa yang dikehendaki "Fayakun".

Nabi Ibrahim mencari Tuhan yang sebenarnya.


Assalamualaikum
Pada zaman Nabi Ibrahim, kebanyakan rakyat di Mesopotamia beragama politeisme iaitu menyembah lebih dari satu Tuhan.
Dewa Bulan atau Sin merupakan salah satu berhala yang paling penting. Bintang, bulan dan matahari menjadi objek utama penyembahan dan kerananya, astronomi merupakan bidang yang sangat penting.

Ayah Nabi Ibrahim bekerja sebagai pengukir patung berhala untuk tujuan perniagaan. Nabi Ibrahim disuruh ayahnya untuk membantu menjual patung-patung tersebut. Walaupun berasa benci, namun Nabi Ibrahim tetap patuh pada perintah ayahnya. Ketika bertemu orang ramai, Nabi Ibrahim tidak berkempen mengajak orang untuk membeli patung-patung tersebut. Sebaliknya baginda memburuk-burukkan berhala yang dibawanya. Kata Nabi Ibrahim,"Siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna ini?"Dengan kata-katanya itu patung berhala yang dibuat ayahnya tidak laku dijual.


Pada waktu malam yang gelap, beliau melihat sebuah bintang yang bersinar-sinar lalu ia berkata: 
"Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula:
 "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". 
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: 
"Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: 
"Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia:
 "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam,  Nabi Ibrahim berkata:

"Sesungguhnya aku menghadap­kan diriku kepada Tuhan, Yang mencip­takan langit,bumi dan sekalian alam, dengan cende­rung kepada agama yang benar (hani­fa’), dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”

Inilah daya logik yang dianugerah kepada beliau dalam menolak agama penyembahan langit yang dipercayai kaumnya serta menerima Tuhan yang sebenarnya.


Lahirnya Nabi Ibrahim A.s


Assalamualikum
 Nabi Ibrahim adalah putera Azar (atau Terah bin Nahor bin Serug bin Rehu bin Falikh bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh A.S.).
 Dilahirkan di sebuah tempat bernama "Faddam A'ram" dalam Empayar Neo-Babylon yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja zalim bernama "Namrud bin Kan'aan."
 Baginda telah diberi gelaran Khalil Ullah iaitu "Sahabat Allah". Selain itu beliau bersama anaknya Nabi Ismail a.s. terkenal sebagai pengasas Kaabah. Baginda juga merupakan salah seorang daripada lima orang nabi Ulul Azmi. 
Raja Namrud mendapat petanda bahawa seorang bayi akan dilahirkan disana dan bayi ini akan membesar dan merampas takhtanya. Antara sifat insan yang akan menentangnya ini ialah dia akan membawa agama yang mempercayai satu tuhan dan akan menjadi pemusnah batu berhala. Insan ini juga akan menjadi penyebab Raja Namrud mati dengan cara yang dahsyat. Oleh itu Raja Namrud telah mengarahkan semua bayi yang dilahirkan di tempat ini dibunuh, manakala golongan lelaki dan wanita pula telah dipisahkan selama setahun.

 Isteri Aazar telah mengandung namun tidak menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Pada suatu hari dia terasa seperti telah tiba waktunya untuk melahirkan anak dan sedar sekiranya diketahui Raja Namrud yang zalim pasti dia serta anaknya akan dibunuh. Dalam ketakutan, ibu nabi Ibrahim telah bersembunyi dan melahirkan anaknya di dalam sebuah gua yang berhampiran. Selepas itu, dia memasuki batu-batu kecil dalam mulut bayinya itu dan meninggalkannya keseorangan. 

Seminggu kemudian, dia bersama suaminya telah pulang ke gua tersebut dan terkejut melihat nabi Ibrahim a.s masih hidup. Selama seminggu, bayi itu menghisap celah jarinya yang mengandungi susu dan makanan lain yang berkhasiat. Semasa berusia 15 bulan tubuh Nabi Ibrahim telah membesar dengan cepatnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Maka kedua ibu bapanya berani membawanya pulang kerumah mereka.

Azab Allah kepada kaum Tsamud

Assalamualaikum

Nabi Saleh memberitahu kaumnya bahwa azab Allah yang akan menimpa di atas mereka akan didahului dengan tanda-tanda, iaitu:

1. Pada hari pertama bila mereka terbangun dari tidur, wajah mereka menjadi kuning 
2. Pada hari kedua akan berubah menjadi merah
3. Pada hari ketiga jadi hitam
dan pada hari keempat turunlah azab Allah yang pedih.

Mendengar ancaman azab yang diberitahukan oleh Nabi Saleh kepada kaum Tsamud..kelompok pembunuh unta merancang melakukan pembunuhan ke atas diri Nabi Saleh mendahului tibanya azab yang diancamkan itu. Mereka mengadakan pertemuan rahsia dan bersumpah bersama akan melaksanakan rancangan pembunuhan itu di waktu malam, di saat orang masih tidur nyenyak untuk menghindari tuntutan balas darah oleh keluarga Nabi Saleh, jika diketahui identiti mereka sebagai pembunuhnya. Rancangan mereka ini dirahsiakan sehingga tidak diketahui dan didengar oleh siapapun kecuali kelompok orang itu sendiri.


Ketika mereka datang ke tempat Nabi Saleh bagi melaksanakan rancangan jahatnya di malam yang gelap-gelita dan sunyi-senyap jatuhlah di atas kepala mereka batu-batu besar yang tidak diketahui dari arah mana datangnya dan yang seketika merebahkan mereka di atas tanah dalam keadaan tidak bernyawa lagi. Demikianlah Allah telah melindungi rasul-Nya dari perbuatan jahat hamba-hamba-Nya yang kafir.

Satu hari sebelum hari turunnya azab yang telah ditentukan itu, dengan izin Allah berangkatlah Nabi Saleh bersama para mukminin pengikutnya menuju Ramlah, sebuah tempat di Palestin, meninggalkan Hijir dan penghuninya, kaum Tsamud habis binasa, ditimpa halilintar yang dahsyat beriringan dengan gempa bumi yang mengerikan.


"Dan adapun kaum Tsamud maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan." (Surat Fushilat ayat 17) 

senibina kaumTsamud

Unta Nabi Saleh A.s dibunuh

Assalamualaikum

Nabi Saleh sedar bahawa tentangan kaumnya, yang menuntut bukti daripadanya berupa mukjizat itu, adalah bertujuan hendak menghilangkan pengaruhnya dan mengikis  kewibawaannya di mata kaumnya terutama para pengikutnya bila ia gagal memenuhi tentangan dan tuntutan mereka. Nabi Saleh membalas tentangan mereka dengan menuntut janji dengan mereka apabila dia berhasil mendatangkan mukjizat yang mereka minta bahawa mereka akan meninggalkan agama dan penyembahan mereka dan akan mengikuti Nabi Saleh dan beriman kepadanya.

Maka  berdoalah Nabi Saleh memohon kepada Allah agar memberinya suatu mukjizat untuk membuktikan kebenaran risalahnya dan sekaligus mematahkan perlawanan dan tentangan kaumnya yang masih berkeras hati itu.Dia bermohon dari Allah dengan kekuasaan-Nya menciptakan seekor unta betina dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang terdapat di sisi sebuah bukit yang mereka tunjuk.Maka sejurus kemudian dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta terbelahlah batu karang yang ditunjuk itu dan keluar dari perutnya seekor unta betina. 


Dengan terlihatnya  unta yang baru keluar dari perut batu besar itu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: 
" Inilah dia unta Allah, janganlah kamu ganggu dan biarkanlah dia mencari makanannya sendiri di atas bumi Allah, dia mempunyai giliran untuk mendapatkan air minum dan kamu mempunyai giliran untuk mendapatkan minuman bagimu dan bagi ternakanmu juga dan ketahuilah bahwa Allah akan menurunkan azab-Nya apabila kamu mengganggu binatang ini." 
Kemudian berkeliaranlah unta itu  di ladang-ladang ,memakan rumput sesuka hatinya tanpa mendapat gangguan. Apabila unta betina Nabi Saleh dahaga,pergilah unta itu ke sebuah perigi yang diberi nama perigi unta dan minumlah sepuas hatinya. Dan pada hari-hari giliran unta Nabi Saleh itu datang minum, tiada seekor binatang lain berani menghampirinya,Disebabkan itu. timbul  rasa tidak senang hati pada pemilik-pemilik binatang itu yang makin hari makin merasakan bahwa adanya unta Nabi Saleh di tengah-tengah mereka itu merupakan gangguan laksana duri yang melintang di dalam kerongkong.

Dengan berhasilnya Nabi Saleh mendatangkan mukjizat yang mereka tuntut gagallah para pemuka kaum Tsamud dalam usahanya untuk menjatuhkan kehormatan dan menghilangkan pengaruh Nabi Saleh bahkan sebaliknya telah menambah tebal kepercayaan para pengikutnya dan menghilangkan banyak keraguan dari kaumnya..

Persekongkolan diadakan oleh orang-orang dari kaum Tsamud untuk mengatur rancangan membunuh unta Nabi Saleh dan selagi orang masih dibayangi oleh rasa takut dari azab yang diancam oleh Nabi Saleh apabila untanya diganggu di samping adanya dorongan keinginan yang kuat untuk melenyapkan binatang itu dari atas bumi mereka, 

Muncul seorang janda bangsawan yang kaya raya yang akan menyerah dirinya kepada sesiapa sahaja yang dapat membunuh unta Nabi Saleh. Di samping janda itu, ada seorang wanita lain yang mempunyai beberapa puterinya akan  menghadiahkan salah seorang dari puteri-puterinya kepada orang yang berhasil membunuh unta itu.



Dua  hadiah yang menggiurkan dari kedua wanita itu di samping hasutan para kafir Tsamud mengundang dua orang lelaki bernama Mushadda' bin Muharrij dan Gudar bin Salif berkemas-kemas akan melakukan pembunuhan bagi meraih hadiah yang dijanjikan di samping sanjungan dan pujian yang akan diterimanya dari para kafir suku Tsamud bila unta Nabi Saleh telah mati dibunuh.
                 
Dengan bantuan tujuh orang lelaki bersembunyilah kumpulan itu di suatu tempat di mana biasanya dilalui oleh unta dalam perjalanannya ke perigi tempat ia minum dan begitu unta-unta yang tidak berdosa itu lalu segeralah dipanah betisnya oleh Musadda' yang disusul oleh Gudar dengan menikamkan pedangnya di perut unta Nabi Saleh.

Dengan perasaan megah dan bangga pergilah para pembunuh unta itu ke ibu kota menyampaikan berita matinya unta Nabi Saleh yang mendapat sambutan sorak-sorai dan teriakan gembira dari pihak musyrikin seakan-akan mereka kembali dari medan perang dengan membawa kemenangan yang gilang- gemilang. Berkata mereka kepada Nabi Saleh:
" Wahai Saleh! Untamu telah mati dibunuh, cubalah datangkan akan apa yang engkau katakan dulu akan ancamannya bila unta itu diganggu, jika engkau betul-betul termasuk orang-orang yang terlalu benar dalam kata-katanya."

Nabi Saleh menjawab:" Aku telah peringatkan kamu, bahwa Allah akan menurunkan azab-Nya atas kamu jika kamu mengganggu unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu maka tunggulah engkau akan tibanya masa azab yang Allah talah janjikan dan telah aku sampaikan kepada kamu. Kamu telah menentang Allah dan terimalah kelak akibat tentanganmu kepada-Nya. Janji Allah tidak akan meleset. Kamu boleh bersuka-ria dan bersenang-senang selama tiga hari ini kemudian terimalah ganjaranmu yang setimpal pada hari keempat. Demikianlah kehendak Allah dan takdir-Nya yang tidak dapat ditunda atau dihalang."

Azab dari AllahSAW klik sini

Dakwah Nabi saleh A.s kepada kaum Tsamud


Assalamualaikum

Nabi Saleh Alaihissalam adalah putra kepada 'Ubaidah bin Tsamud bin 'Amir bin Iram bin Sam bin Nuh AS.
Baginda diutuskan kepada kaum Tsamud yang hidup di atas bekas runtuhan kaum Aad (kaum Nabi Hud)

Kaum Tsamud tidak mengenal Tuhan. Tuhan mereka adalah berhala-berhala yang mereka sembah dan puja, kepadanya mereka berkorban, tempat mereka meminta perlindungan dari segala bala dan musibah dan mengharapkan kebaikan serta kebahagiaan.

Nabi Saleh mengenalkan mereka tentang Tuhan yang sepatutnya mereka sembah,iaitu Allah Yang Maha Esa, yang telah mencipta mereka, menciptakan alam sekitar mereka, menciptakan tanah-tanah yang subur yang menghasilkan bahan-bahan keperluan hidup mereka, mencipta binatang-binatang yang memberi manfaat dan berguna bagi mereka dan dengan demikian memberi kepada mereka kenikmatan dan kemewahan hidup dan kebahagiaan lahir dan batin. Tuhan Yang Esa itulah yang harus mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batu gunung yang tidak berkuasa memberi sesuatu kepada mereka atau melindungi mereka dari ketakutan dan bahaya.

Nabi Saleh memperingatkan mereka bahawa dia juga adalah seorang saudara daripada mereka, terjalin antara dirinya dan mereka ikatan keluarga dan darah. Mereka adalah kaumnya dan sanak keluarganya dan dia adalah seketurunan dan sesuku dengan mereka.Dia mengharapkan kebaikan dan kebajikan bagi mereka dan sesekali tidak akan menjerumuskan mereka ke dalam hal-hal yang akan membawa kerugian, kesengsaraan dan kebinasaan bagi mereka. Dia menerangkan kepada mereka bahwa dia adalah pesuruh dan utusan Allah, dan apa yang diajarkan dan didakwahkan kepada mereka adalah amanat Allah yang harus dia sampaikan kepada mereka untuk kebaikan mereka semasa hidup dan sesudah mereka mati di akhirat kelak. Dia berharap yang kaumnya mempertimbangkan dan memikirkan bersungguh-sungguh apa yang dia serukan dan anjurkan agar mereka segera meninggalkan penyembahan kepada patung berhala itu dan percaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa seraya bertaubat dan mohon keampunan kepada-Nya atas dosa dan perbuatan syirik yang selama ini telah mereka lakukan. Allah Maha pengampun dengan mendengarkan doa mereka dan memberi keampunan kepada yang bersalah apabila dimintanya.

Terperanjatlah kaum Saleh mendengar seruan dan dakwahnya yang bagi mereka merupakan hal yang baru yang tidak diduga akan datang dari saudara atau anak mereka sendiri. Maka serentak ditolaknya ajakan Nabi Saleh itu seraya berkata mereka kepadanya:

"Wahai Saleh! Kami mengenalmu seorang yang pandai, tangkas dan cerdas, fikiranmu tajam dan pendapat serta semua pertimbanganmu selalu tepat. Pada dirimu kami melihat tanda-tanda kebajikan dan sifat-sifat yang terpuji. Kami mengharapkan dari engkau sebetulnya untuk memimpin kami menyelesaikan hal-hal yang rumit yang kami hadapi, memberi petunjuk dalam soal-soal yang gelap bagi kami dan menjadi ikutan dan kepercayaan kami di kala kami menghadapi krisis dan kesusahan. Akan tetapi segala harapan itu menjadi meleset dan kepercayaan kami kepadamu tergelincir hari ini dengan tingkah lakumu dan tindak tandukmu yang menyalahi adat-istiadat dan tatacara hidup kami. Apakah yang engkau serukan kepada kami? Engkau menghendaki agar kami meninggalkan persembahan kami dan nenek moyang kami, persembahan dan agama yang telah menjadi darah daging kami menjadi sebahagian hidup kami sejak kami dilahirkan dan tetap menjadi pegangan untuk selama-lamanya. Kami sesekali tidak akan meninggalkannya kerana seruanmu dan kami tidak akan mengikutimu yang sesat itu. Kami tidak mempercayai cakap-cakap kosongmu bahkan meragui kenabianmu. Kami tidak akan mendurhakai nenek moyang kami dengan meninggalkan persembahan mereka dan mengikuti jejakmu."
                                    
Nabi Saleh memperingatkan mereka agar jangan menentangnya dan agar mengikuti ajakannya beriman kepada Allah yang telah mengurniai mereka rezeki yang luas dan penghidupan yang sejahtera. Diceritakan kepada mereka kisah kaum-kaum yang mendapat seksaan dan azab dari Allah kerana menentang rasul-Nya dan mendustakan risalah-Nya. Hal yang serupa itu dapat terjadi ke atas mereka jika mereka tidak mahu menerima dakwahnya dan mendengar nasihatnya, yang diberikannya secara ikhlas dan jujur sebagai seorang anggota dari keluarga besar mereka dan yang tidak mengharapkan atau menuntut upah daripada mereka atas usahanya itu.Dia hanya menyampaikan amanat Allah yang ditugaskan kepadanya dan Allahlah yang akan memberinya upah dan ganjaran untuk usahanya memberi pimpinan dan tuntutan kepada mereka.

Sekelompok kecil dari kaum Tsamud yang kebanyakannya terdiri dari orang-orang yang berkedudukan sosial lemah menerima dakwah Nabi Saleh dan beriman kepadanya,sedangkan sebahagian yang terbesar terutamanya mereka yang tergolong orang-orang kaya dan berkedudukan tetap berkeras  dan menyombongkan diri menolak ajakan Nabi Saleh dan mengingkari kenabiannya dan berkata kepadanya:


" Wahai Saleh! Kami kira bahawa engkau telah dirasuk syaitan dan terkena sihir. Engkau telah menjadi sinting dan menderita sakit gila. Akalmu sudah berubah dan fikiranmu sudah kacau sehingga engkau tidak sedar yang engkau telah mengeluarkan kata-kata yang tidak masuk akal dan mungkin engkau sendiri tidak memahaminya. Engkau mengaku bahwa engkau telah diutuskan oleh Tuhanmu sebagai nabi dan rasul-Nya. Apakah kelebihanmu daripada kami semua sehingga engkau dipilih menjadi rasul, padahal ada orang-orang di antara kami yang lebih patut dan lebih cekap untuk menjadi nabi atau rasul daripada engkau. Tujuanmu dengan bercakap kosong dan kata-katamu hanyalah untuk mengejar kedudukan dan ingin diangkat menjadi kepala dan pemimpin bagi kaummu. Jika engkau merasa bahwa engkau cerdas dan cergas dan mengaku bahwa engkau tidak mempunyai arah dan tujuan yang terselubung dalam dakwahmu itu maka hentikanlah usahamu menyiarkan agama barumu dengan mencerca penyembahan kami dan nenek moyangmu sendiri. Kami tidak akan mengikuti jalanmu dan meninggalkan jalan yang telah ditempuh oleh orang-orang tua kami lebih dahulu."

Nabi Saleh menjawab: " Aku telah berulang-ulang mengatakan kepadamu bahwa aku tidak mengharapkan sesuatu apapun daripadamu sebagai balasan atas usahaku memberi penerangan kepada kamu. Aku tidak mengharapkan upah atau mendambakan pangkat dan kedudukan bagi usahaku ini yang aku lakukan semata-mata atas perintah Allah dan daripada-Nya kelak aku harapkan balasan dan ganjaran untuk itu dan bagaimana aku dapat mengikutimu dan menterlantarkan tugas dan amanat Tuhan kepadaku, padahal aku talah memperoleh bukti-bukti yang nyata atas kebenaran dakwahku. Janganlah sesekali kamu harapkan bahawa aku akan melanggar perintah Tuhanku dan melalaikan kewajibanku kepada-Nya hanya semata-mata untuk melanjutkan penyembahan nenek moyang kami yang jahil itu. Siapakah yang akan melindungiku dari murka dan azab Tuhan jika aku berbuat demikian? Sesungguhnya kamu hanya akan merugikan dan membinasakan aku dengan seruanmu itu."

Setelah gagal dan berhasil menghentikan usaha dakwah Nabi Saleh , bahkan makin giat menarik orang-orang mengikutnya dan berpihak kepadanya, para pemimpin dan pemuka kaum Tsamud berusaha hendak membendung arus dakwahnya yang makin lama makin mendapat perhatian terutama dari kalangan bawahan menengah dalam masyarakat. Mereka menentang Nabi Saleh dan untuk membuktikan kebenaran kenabiannya mereka inginkan  suatu bukti mukjizat dalam bentuk benda atau kejadian luar biasa yang berada di luar kekuasaan manusia.


Mukjizat dari Allah kepada Nabi Saleh klik sini

Keadaan di Padang Masyar

Assalamualaikum

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

                                      
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Amalan-amalan penghapus dosa


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

1.Menyempurnakan wuduk dan berjalan ke masjid
Rasullullah s.a.w: "Sempurnakan wudhu’ ketika masa sulit dan memperbanyak langkah ke masjid serta menunggu solat satu ke solat yang lain, kerana hal itu adalah ribath.”

“Jika seseorang berwudhu’ lalu menyempurnakan wudhu’nya kemudian berangkat hendak bersolat dengan niat hanya untuk solat, maka setiap satu langkah Allah angkat satu darjat dan hapus satu dosa.”

(Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)


2.Menjaga solat lima waktu dan Jumaat serta puasa Ramadan.
Rasullullah s.a.w:  “Solat lima waktu dan Jumaat ke Jumaat dan Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa diantara keduanya selama dosa-dosa besar dijauhi.” 
(Hadis Riwayat Muslim)


3.Melaungkan Azan untuk solat fardu.
Rasullullah s.a.w:  “Sesungguhnya seorang muazin akan diampuni dosanya sepanjang (gema) suaranya.” 
(Hadis Riwayat Ahmad)


4.Solat Terawih di bulan Ramadan
Rasullullah s.a.w: “Barangsiapa menegakkan Ramadan (solat terawih) dengan iman dan mengharap pahala Allah maka diampunilah dosanya yang telah lalu.” 
(Muttafaqun ‘Alaihi)


5.Mengerjakan Solat tasbih
Rasullullah s.a.w berpesan kepada Abbas bin Abdul Muthalib, “Hai Abbas, pakcikku. Tidakkah engkau kuberi, tiadakah engkau kuanugerahi, tiadakah aku kerjakan untukmu sepuluh perkara yang engkau menjalankannya, 
Allah akan mengampuni dosa-dosamu yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang sengaja mahupun yang tidak sengaja, yang besar dan yang kecil, yang terang-terangan mahupun yang disembunyikan. Iaitu  

sepuluh hal di mana engkau solat empat rakaat dgn membaca Surah Al-Fatihah dan salah satu surah dalam setiap rakaat pertama, maka bacalah, ‘Subhanallahu walhamdulillah walaa ilaaha illallaah wallahu akbar,’ sebanyak 15 kali, 
setelah itu barulah engkau ruku’ dan bacalah kalimat tersebut sebanyak 10 kali, 
lalu engkau bangun dari sujud dengan membacanya lagi sebanyak 10 kali 
kemudian engkau sujud kembali dan membacanya lagi sebanyak 10 kali 
lalu bangun dan kemudian membacanya dgn jumlah yang sama. 

Bererti berjumlah 75 kali dalam setiap rakaat. Kau kerjakan itu semua dalam 4 rakaat, jika mampu engkau melakukan solat itu satu kali setiap sehari, jika tidak mampu, setiap Jumaat, jika setiap Jumaat tidak mampu kerjakanlah setiap bulan sekali dan jika tidak mampu pula, maka lakukanlah seumur hidupmu sekali.” (Diriwayatkan Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ath-Thabrani, Hakim, Baihaqi dan yang lainnya)


6.Mengerjakan solat malam.
Rasullullah s.a.w:  “Hendaklah kalian solat malam, kerana ia adalah amalan orang yang soleh sebelum kalian dan amalan yang mendekatkan diri kepada Rabb kalian serta penghapus kesalahan dan mencegah dosa-dosa.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim)


7.Memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil , takbir dan hauqqalah.

Al-Baqiyatush Shalihat terdiri atas kalimat :

1. Tasbih : Subhanallah  2. Tahmid : Alhamdulillah  3. Tahlil : Laa Ilaaha Illallaah
4. Takbir : Allahu Akbar 5. Hauqqalah : Lahaula Walakuwwata Illaabilla

Dari Ummu Hani ra dia berkata:“Ya Rasulullah SAW saya sudah tua dan lemah. Beritahukanlah padaku suatau amalan agar dapat saya kerjakan sambil duduk” .  
Rasullullah s.a.w:  Bacalah Subhanallah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan memerdekakan 100 orang budak dari keturunan Ismail. 
Bacalah Alhamdulillah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan mensedekahkan 100 ekor kuda yang bercahaya dan terkendali yang disedekahkan dijalan Allah. 
Bacalah Allahu Akbar 100 kali , itu seimbang bangimu dengan menyembelih 100 ekor unta yang terkorban dan diterima disisi Allah SWT. 
Dan bacalah Laa ilaaha illallah 100 kali” Abu Khalfin berkata aku kira pahalanya akan memenuhi antara langit dan bumi, dan tidak ada yang melebihinya darimu kecuali orang yang mengamalkannya melebihimu."
(Hadis Riwayat Ahmad)


8.Berzikir selepas solat
“Sesungguhnya ucapkan kalimat Subhanallahu walhamdulillahi walaa ilaaha illallaahu wallaahu akbar itu menggugurkan kesalahan-kesalahan seperti pepohonan menggugurkan dedaunan.” 
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad)


9.Puasa hari Arafah dan Asy Syura.
Rasullullah s.a.w:  “Siapa sahaja yang mengerjakan puasa Ramadhan kerana iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang terdahulu diampuni.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Dalam hadis lain baginda bersabda, “Puasa 3 hari tiap bulan dan Ramadhan ke Ramadhan, itulah puasa seumur hidup. Puasa Arafah kerana mencari redha Allah dapat menghapus dosa setahun sebelum dan sesudahnya, sedang puasa pada hari Asyura kerana redha Allah dapat menghapus dosa setahun sebelumnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)


10.Berjihad di jalan Allah
Rasullullah s.a.w:  “Akan diampuni tiap dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” 
(Hadis Riwayat Muslim)


11.Menegakkan hukum Allah SWT
Rasullullah s.a.w: “Setiap hamba yang terjerumus kepada larangan Allah, lalu dijalankan atasnya hukumnya (had)Nya, maka dosa tersebut dihapus darinya kerananya.” (Diriwayat oleh Hakim, Darini, Ahmad dan lainnya)


12.Mengiringi haji dengan umrah. 
Rasullullah s.a.w:  “Iringi antara haji dengan umrah, kerana pengiringan antara keduanya dapat menghilangkan kefakiran dan dosa sebagaimana Al Kier (alat pembakar besi) menghilangkan karat besi.” (Riwayat Ibnu Majah)


13.Menjauhi dosa-dosa besar
Allah swt berfirman, “Jika sekalian meninggalkan dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yg kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” (An-Nisa’ : 31)


14.Memberi salam dan berkata baik
Rasullullah s.a.w:  “Sesungguhnya di antara hal yang menghapuskan dosa dan mendatangkan keampunan, adalah mengucapkan salam dan berkata baik.”

15.Sabar atas musibah
Rasullullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla berfirman, 'Sesunguhnya apabila Aku menguji seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku atas ujian yang Aku timpakan kepada-Nya, maka ia bangkit dari tempat tidurnya (dalam keadaan) bersih dari dosa seperti hari ibunya melahirkannya." (Hadis Riwayat Ahmad)


16.Bersedekah
Rasullullah s.a.w:  “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan pada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 271)
Rasullullah s.a.w: “Sedekah menghapus dosa seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan selainnya)


17.Memaafkan hutang orang yang tidak mampu membayarnya.
Rasullullah s.a.w: "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." 
(Hadis Riwayat Tirmizi).
  
                                
 

Hukum lelaki memakai inai

Assalamualaikum

Haram bagi kaum lelaki memakai inai sekalipun bagi tujuan berkahwin,kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.

Mazhab syafie berpendapat bahawa lelaki diharuskan memakai inai pada mana-mana bahagian tubuh badan KECUALI tangan dan kakinya. 

Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.

sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.” 

والله أعلمُ بالـصـواب

Wanita pertama yang masuk Syurga


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti Fatimah, maka baginda pun bersabda:
“Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.

Mendengar sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanyaa lantas menangis dan berkata,
“Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia terlebih dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda?"

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, 
“Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.

Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Dengan perasaan sedih dan dukacita Siti Fatimah pulang kerana tak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu. 

Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, 
“Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.
Siti Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya.

 Esoknya Siti Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.

Dalam perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.
Sebaik sahaja suami kepada perempuan itu pulang, Siti Muti'ah memberitahu perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Sumainya yang terkejut dan hairan pun berkata,“Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”.
Isterinya menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”
Pada hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, Siti Muti'ah berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tak berapa memperdulikan Siti Fatimah. Sambil itu Siti Fatimah melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi mengangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.

Melihat keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Siti Fatimah bertanya,“Mengapa dengan awak ini?

Siti Muti'ah itu menyahut, “Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”.

“Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Siti Fatimah. 
Jawab Siti Muti'ah, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tak terlambat."
Kemudian Siti Fatimah bertanya lagi, “Buat apa pula dengan tongkat itu?” 
Perempuan itu menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. 
Siti Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” 
Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.

Selesai sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah termenung dan hairan lalu berkata didalam hati,
 “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.
Sambil teresak-esak menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W lalu berkata,
“Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.

Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W mendengar rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti Fatimah tersenyum ketawa.


سُبْحَانَ اللّهُ