Perang Khandaq-Kemenangan Muslimin

Assalamualaikum

Nabi Muhammad menghantar 100 orang Islam ke pusat bandar Madinah bagi pertahanannya sebaik sahaja baginda mendengar berita angin tentang pembelotan Bani Quraizah. Kemudian baginda menghantar 300 orang askar berkuda (askar berkuda tidak diperlukan di parit) juga bagi mempertahankan Madinah.Namun dalam keadaan cemas ini suara kuat para tentera Islam semasa menunaikan solat berjamaah di malam hari memberikan gambaran seolah-olah mereka ramai dan kuat.

Baginda menghubungi Ghatafan (suku Badwi) dan cuba memujuk mereka menyertai tentera Islam dengan menawarkan mereka sepertiga hasil tanaman buah kurma Madinah sekiranya mereka berundur. Walaupun Ghatafan meminta dibayar setengah hasil kurma, pada akhirnya selepas berunding dengan Nabi Muhammad, mereka bersetuju. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad telah bermesyuarat terdahulu dengan ketua-ketua Madinah sebelum membuat perjanjian. Pembesar-pembesar Madinah membantah dan tidak bersetuju akan syarat-syarat perjanjian,dengan alasan Madinah tidak pernah jatuh ke tahap itu,justeru rundingan dengan Ghatafan dihentikan. Mahupun Ghatafan tidak berundur, mereka telah mengundang kecurigaan sekutu lain kerana mereka telah mengadakan rundingan dengan pihak Islam. Ekoran itu, pertelagahan dalaman Gabungan bertambah runcing.

Mengikut sejarawan Ibn Ishaq, pada ketika itu Nabi Muhammad didatangi Nuaim ibn Masud, seorang kenamaan Arab yang dihormati orang Gabungan, yang telah memeluk Islam secara rahsia. Pada lawatan itu Nabi Muhammad meminta Nuaim membantu mengakhirkan pengepungan dengan menanam rasa curiga di kalangan pihak Gabungan.

Nuaim kemudiannya melahirkan satu strategi yang efisien. Beliau pertamanya pergi ke Bani Quraizah dan memberi amaran kepada mereka tentang niat ahli Gabungan yang lain. Kata beliau, sekiranya pengepungan itu gagal, pihak Arab Gabungan tidak akan ragu-ragu meninggalkan orang Yahudi kepada belas kasihan Nabi Muhammad. Justeru, Quraizah harus meminta Gabungan memberi beberapa orang sandera(tebusan) bagi memastikan kerjasama berterusan Quraizah. Nasihat Nuaim ini menimbulkan kerisauan di kalangan orang Quraizah yang sememangnya sudah mula berasa curiga.


Kemudian Nuaim pergi bertemu Abu Sufyan, ketua Gabungan, dan memberitahunya bahawa kaum Quraizah sudah berpaling tadah dan menyertai Nabi Muhammad. Beliau menyatakan bahawa kaum Yahudi itu berniat meminta sandera(tebusan) daripada pihak Gabungan, kononnya sebagai balasan kerjasama yang diberikan mereka, tetapi sebenarnya akan diserah Quraizah kepada Nabi Muhammad. Justeru, pihak Gabungan tidak sepatutnya memberikan mahu seorang pun sandera kepada Quraizah. Dan Nuaim mengulangi ceritanya kepada kaum-kaum Gabungan yang lain.

Strategi Nuaim berkesan. Setelah berunding, ketua-ketua Gabungan menyuruh Ikrimah ibn Abu Jahal pergi ke Quraizah sebagai isyarat serangan bersatu terhadap Madinah. Sebaliknya, Quraizah berkeras meminta orang tebusan sebagai jaminan yang pihak Gabungan tidak akan meninggalkan Bani Quraizah sekiranya pengepungan gagal. Pihak Gabungan pula berfikiran bahawa Quraizah akan menyerahkan sandera tersebut kepada Nabi Muhammad dan seterusnya enggan memberi orang tebusan. Perutusan dihantar pergi balik antara kedua belah pihak, namun tidak ada yang mahu berganjak.

Abu Sufyan memanggil Huyayy ibn Akhtab, dan memaklumkannya tentang sambutan Quraizah. Huyayy tersentak dan Abu Sufyan menuduhnya sebagai 'pengkhianat'. Risau akan keselamatannya, Huyayy melarikan diri ke kubu kuat Quraizah di selatan Madinah.

Puak Badwi, kaum Ghatafan, dan puak-puak lain Gabungan pula terjejas dengan rundingan yang diadakan mereka dengan Nabi Muhammad. Mereka menyertai ekspedisi gabungan hanya dengan harapan mendapat hasil penjarahan dan bukan kerana membenci Islam. Mereka putus harapan kerana pengepungan memakan masa lama (mereka tidak biasa dengan kaedah peperangan berbentuk pengepungan) dan oleh sebab itu berasa kurang minat meneruskan pengepungan. kedua-dua kelompok pihak Gabungan ini pada kesudahannya mula menuding jari dan saling mencurigai antara satu sama lain.

Pada masa yang sama bekalan pihak Gubungan juga menyusut. Kuda dan unta mati akibat kebuluran dan kecederaan. Cuaca pula amat sejuk dan hujan turun buat beberapa hari. Angin kencang bertiup dan memadamkan unggun api, sekaligus menghilangkan punca haba anggota Gabungan. Sebaliknya, penempatan Muslim terlindung daripada angin. Khemah-khemah tentera Gabungan ranap ditiup angin, unggun api padam, hujan dan pasir memercik muka mereka.Mereka menjadi ketakutan akan keadaan mereka. Kesemua ini mereka anggap sebagai petanda sesuatu yang buruk yang akan melanda mereka. Kesatuan mereka sudah berkecai. Akhirnya mereka mula berundur pada waktu malam dan pada keesokan harinya medan perang menjadi kosong.

Sambungan: Perang Khandaq-Kemusnahan bani Quraizah dan hasil Kemenangan muslimin

0 comments: